Foto: FB Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan mempersoalkan bagaimana perjanjian berbilion ringgit yang menyentuh hasil nadir bumi (REE) negeri dengan Amerika Syarikat (AS) boleh dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, situasi itu menyimpang dari semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan.

Menurut beliau, Kelantan memiliki deposit unsur nadir bumi tidak radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit.

Jelasnya, berbeza dengan petroleum, sumber NREE itu terletak di daratan dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ketika ini juga, ujar beliau, banyak pelabur luar datang ke Kelantan untuk melombong dan membeli NREE bagi dibawa balik ke negara mereka untuk diproses, namun kerajaan negeri menolak pendekatan itu.

“Dasar kita jelas, REE mesti diproses kalau tidak sepenuhnya tetapi semaksimumnya di Kelantan.

“Bukan digali dan dieksport mentah. Kita realistik dalam hal ini.  Apabila diproses di sini, nilai tambahnya meningkat berganda.

“Industri huluan (upstream) dan hiliran (downstream) akan berkembang. Peluang pekerjaan dan latihan kemahiran tinggi akan terbuka untuk anak-anak muda kita,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, ujarnya, perjanjian Malaysia dengan AS yang menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke negara tersebut sekali gus menimbulkan persoalan besar.

Antaranya, ujar beliau, berkenaan bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau mengehadkan eksport bahan mentah demi menjamin nilai tambah tempatan.

“Adakah langkah itu akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian tersebut?

“Adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri, atau semuanya kini terikat kepada janji yang dibuat kerajaan persekutuan kepada kerajaan Amerika Syarikat? Ini bukan soal politik. Ini soal kedaulatan ekonomi negeri,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kelantan tidak menolak pelaburan luar, tetapi mesti disertai rasa hormat kepada kedaulatan negeri, bukan menyerahkan hak kepada orang lain atas nama diplomasi.

Tegasnya, walaupun hak untuk menandatangani sebarang perjanjian di peringkat antarabangsa adalah hak Persekutuan, tetapi sumber dan “subject matter” adalah hak kerajaan negeri.

“Negeri pengeluar berhak tahu dan berhak bersuara tentang sumbernya sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast