Abang Johari Tun Openg

SEMATAN – Sarawak mengambil keputusan untuk tidak mengeksport sumber unsur nadir bumi (REE) dari negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, REE merupakan sumber penting yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi negeri.

“Di bawah kategori REE ini terdapat beberapa elemen yang sangat strategik. Sebab itu kita lihat China tidak mengeksport unsur nadir bumi mereka.

“Kita di Sarawak memang mempunyai sumber REE, namun kita tidak akan mengeksportnya kerana ia merupakan komponen ekonomi penting untuk membangunkan bahan-bahan berkaitan teknologi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa menurut rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Sarawak antara 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi memiliki REE bukan radioaktif dengan anggaran nilai sebanyak RM809.6 bilion, selain Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak akan membentangkan satu Rang Undang-Undang berkaitan pengurusan sisa buangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada awal Disember depan.

Beliau berkata, undang-undang itu antara lain bertujuan untuk membolehkan sisa buangan dijadikan sumber ekonomi melalui kitar semula.

“Sisa ini perlu diuruskan dengan baik. Pada masa ini di Sarawak belum ada undang-undang khusus yang membolehkan kita untuk mengutip dan menguruskan sisa. Sebenarnya, sisa berpotensi untuk kita dijadikan sumber duit (pendapatan) kepada negeri,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast