Kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Seremban - Port Dickson Highway malam tadi. Gambar FB Negeri Sembilan kini

SEREMBAN –  Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Seremban – Port Dickson Highway (SPDH), di sini malam semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, kemalangan dipercayai berpunca apabila van jenis Nissan Vanette yang dipandu di lorong kiri telah hilang kawalan selepas tayar hadapan sebelah kiri pecah.

Kebetulan mangsa yang menunggang motosikal Honda ADV 350 yang berada di lorong kecemasan nampak kejadian tersebut lalu mengubah haluan secara mengejut ke lorong kanan.

Tindakan penunggang warga emas yang berusia 60 tahun itu mengundang padah apabila kereta Toyota Wish yang sedang bergerak di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang motosikal berkenaan.

“Kejadian tersebut menyebabkan penunggang serta pembonceng motor  tercampak ke lorong kanan lalu dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Perdana yang tidak dapat mengelak kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua mangsa  disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Manakala pemandu kereta jenis Toyota Wish telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi mendapatkan rawatan lanjut di bahagian zon kuning.

Siasatan masih dijalankan dan kes akan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta menghubungi Inspektor Mohd Shahrizan Khajri di talian 019-8461792 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast