Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,183 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa lelaki berlaku sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, jumlah itu  direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus membuktikan lelaki juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedang giat melaksanakan satu inisiatif strategik selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kualiti modal insan negara,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Perikatan Nasional) yang meminta statistik terperinci mangsa lelaki dalam kes keganasan rumah tangga dari 2022 hingga kini.

Terdahulu Noraini memaklumkan, pada tiga tahun lalu seramai 1,778 mangsa lelaki dalam keganasan rumah tangga direkodkan.

Manakala, pada 2023 sebanyak 1,213 kes direkodkan, seterusnya 1,865 kes pada tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan peranan dan tanggungjawab LPPKN menunjukkan kesan positif apabila 90 peratus peserta mengaku mengetahui tentang  institusi kekeluargaan.

“Secara keseluruhannya, indikator-indikator ini menunjukkan bahawa modul seperti Parenting@Work serta program pembangunan keluarga LPPKN memberi impak positif dalam meningkatkan literasi kekeluargaan.

“Ia termasuk memupuk budaya hormat-menghormati antara pasangan dan seterusnya membantu mengurangkan risiko penderaan, termasuk terhadap lelaki,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast