KUALA LUMPUR – Setakat ini sebanyak 1,128 atau 98.17 peratus daripada 1,149 jumlah keseluruhan jawatan timbalan penguasa polis (DSP) telah berjaya diisi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan dalam proses pemangkuan bagi memastikan calon layak mendapat jawatan yang lebih tinggi.
“Di antaranya adalah keperluan untuk memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 3H di dalam Penilaian Kompetensi dan setiap pegawai dalam penilaian perlu memiliki kadar Body Mass Index (BMI) 28 atau kurang,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Anto, Roy Angau anak Gingkoi (GPS), di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Shamsul berkata, bagi Daerah Lubuk Anto, terdapat satu perjawatan yang telah diisi sepenuhnya.
Manakala bagi negeri Sarawak, sebanyak 59 daripada 60 jumlah jawatan telah diisi, dengan kadar pengisian 98.3 peratus.
Menurut beliau, proses pemangkuan bermula dengan permohonan calon daripada Jabatan di Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dan sistem Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM).
“Perakuan kenaikan pangkat bagi ASP dan DSP dibuat oleh Jawatankuasa Pelantikan dan Kenaikan Pangkat (JPKP), yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara (KPN) atas kapasiti sebagai anggota SPP.
“Manakala bagi pangkat Supritendan dan ke atas, ia diperakukan oleh Jawatankuasa Pemangkuan, yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri atas kapasiti sebagai Pengerusi SPP,” katanya lagi.
Katanya, antara syarat asas pemilihan untuk pemangkuan adalah sah perkhidmatan, mencapai tahap prestasi ditetapkan yang diperakui ketua jabatan dan bebas daripada hukuman tatatertib.
“Selain itu telah isytiharkan harta; lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); bebas daripada disenaraikan sebagai peminjam pendidikan tegar dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga yang berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















