Jerome Powell. Photo AFP

WASHINGTON – Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Reserve) pada Rabu memutuskan untuk menurunkan kadar faedah dana persekutuan sebanyak 25 mata asas kepada 3.75 hingga 4 peratus, pemotongan kadar kedua tahun ini.

Penunjuk yang ada menunjukkan aktiviti ekonomi berkembang pada kadar sederhana, pertambahan pekerjaan menurun tahun ini, dan kadar pengangguran meningkat sedikit tetapi kekal rendah hingga Ogos, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selepas mesyuarat dasar.

FOMC, yang merupakan badan utama pembuat dasar monetari bagi Sistem Rizab Persekutuan menyatakan, ia berusaha mencapai pekerjaan maksimum dan kadar inflasi sekitar 2 peratus dalam jangka panjang.

“Bagi menyokong matlamat ini dan mengambil kira perubahan dalam keseimbangan risiko, jawatankuasa memutuskan untuk menurunkan julat sasaran bagi kadar faedah dana persekutuan sebanyak 1/4 mata peratusan kepada 3.75 hingga 4 peratus.

“Dalam mempertimbangkan pelarasan tambahan terhadap julat sasaran kadar faedah dana persekutuan, jawatankuasa akan menilai dengan teliti data baharu, prospek ekonomi yang berkembang, serta keseimbangan risiko,” menurut kenyataan itu.

Daripada 12 ahli FOMC yang menghadiri mesyuarat tersebut, 10 orang mengundi menyokong pengurangan sebanyak 25 mata asas.

Pemotongan kadar ini dibuat ketika Rizab Persekutuan menghadapi kekurangan data ekonomi yang boleh dipercayai akibat penutupan Kerajaan Persekutuan yang bermula pada 1 Oktober.

“Penutupan Kerajaan Persekutuan akan menjejaskan aktiviti ekonomi selagi ia berterusan,” kata Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, dalam sidang media selepas mesyuarat dasar itu, sambil mengakui kesan tersebut seharusnya terbalik selepas penutupan berakhir.

Powell turut memberi amaran bahawa pengurangan kadar selanjutnya pada mesyuarat Disember bukanlah sesuatu yang pasti.

“Jauh sekali daripada itu, dasar ini tidak berada pada laluan yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Powell berkata, kadar inflasi tidak terlalu membimbangkan jika kesan tarif diketepikan.

“Inflasi, tanpa mengambil kira tarif, sebenarnya tidak terlalu jauh daripada sasaran kami iaitu 2.0 peratus,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast