KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah berdiam diri dalam isu kemanusiaan di Palestin.
Sebaliknya, kata beliau, di hadapan Presiden Donald Trump pun beliau membawa pendirian Malaysia dan para pejuang keadilan dari seluruh dunia.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri menuntut agar Amerika Syarikat memastikan rejim Israel mematuhi gencatan senjata di Gaza.
“Kita bukan bangsa yang bersembunyi di sebalik laungan dari jauh.
“Kita berani menyatakan kebenaran secara berdepan demi keamanan yang berkekalan di bumi Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Anwar berkata, beliau telah membangkitkan mengenai perang di Gaza kepada Presiden Trump dan menggesa perjanjian damai yang lebih “komprehensif, adil dan berkekalan” yang menghormati hak Palestin.
Anwar berkata, beliau telah memanfaatkan sepenuhnya pertemuan empat mata dengan Trump semasa perjalanan mereka bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak ASEAN, baru-baru ini. – MalaysiaGazette
















