GEORGE TOWN – Dua kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Flat Taman Free School Gelugor, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pokok berkenaan dilaporkan tumbang melintangi jalan sebelum menghempap sebahagian kecil dua kereta jenis Proton Exora dan Proton Saga yang diletakkan di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 malam.
“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak diketuai PBK I Muhamad Nurakmal Azmi dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Sebaik pasukan di tempat kejadian, kita dapati pokok tumbang menghempap dua kereta yang diparkir, namun tiada mangsa terlibat.
“Susulan itu, kita menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan sisa pokok menggunakan peralatan khas dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, operasi mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum lokasi diserahkan kepada pihak MBPP untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















