Ibu kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf didapati bersalah terhadap pertuduhan mengabaikan anaknya berusia enam tahun itu hingga menyebabkan kecederaan fizikal ketika di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya yang juga kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

Keputusan disampaikan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh yang turut memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun serta melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Sejurus selepas hukuman dibacakan, peguam bela Haresh Mahadevan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara pihaknya menfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi dengan alasan terdapat keadaan istimewa melibatkan kebajikan anak bongsu tertuduh yang turut menghidap autisme.

Namun, pihak pendakwaan menolak permohonan tersebut dengan menegaskan bahawa kes ini melibatkan kepentingan awam dan mahkamah perlu menghantar mesej jelas terhadap kesalahan pengabaian kanak-kanak.

Prosiding sedang berjalan ketika ini bagi mendengar dan meneliti permohonan berkenaan sebelum mahkamah membuat keputusan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast