PETALING JAYA – Ismanira Abdul Manaf kelihatan tenang ketika tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sekitar jam 8.30 pagi tadi, ditemani suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, serta ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.
Hari ini menjadi detik penentuan buat ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin apabila mahkamah dijadual membacakan keputusan sama ada dirinya disabit atau dilepaskan daripada pertuduhan mengabaikan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak autistik berusia enam tahun itu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh dijangka menyampaikan keputusan pada akhir kes pembelaan sekitar jam 10 pagi, selepas mempertimbangkan keterangan lima saksi termasuk Ismanira sendiri serta meneliti hujahan bertulis kedua-dua pihak.
Sementara itu, ketika berita ini ditulis mahkamah dibanjiri dengan pengamal media yang membuat liputan.
Jumlah kehadiran ramai pengamal media menyebabkan hanya angka kecil dibenarkan masuk mendengar keputusan pagi ini.
Pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang sama.
Prosiding kemudian diteruskan dengan keterangan Ismanira yang diberikan secara bersumpah dari kandang saksi pada hari yang sama.
Pihak pembelaan menutup kes pada 5 Ogos lalu selepas memanggil semua saksi, manakala hujahan bertulis difailkan oleh pasukan peguam bela pada 18 September dan dibalas oleh pihak pendakwaan pada 1 Oktober.
Ismanira, 30, didakwa atas pertuduhan pindaan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding berlangsung, tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi. – MalaysiaGazette
















