KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengingatkan orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri berikutan peralihan cuaca ke fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini hingga Mac 2026.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi musim tengkujuh ini.
“Maritim Pahang mempunyai 10 buah aset operasi yang terdiri daripada dua buah kapal kelas Offshore Petrol Vessel (OPV), sebuah kapal kelas sederhana, dua buah kapal kelas kecil serta lima buah bot.
“Semua aset ini berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi tujuan penguatkuasaan dan menyelamat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, MTL kebiasaannya membawa tiupan angin kencang antara 40 hingga 50 knot serta hujan lebat berterusan, sekali gus meningkatkan risiko kejadian kecemasan di laut termasuk bot karam, nelayan hilang dan kejadian lemas di pantai.
Selain itu katanya, Maritim Malaysia turut bersedia melaksanakan misi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) di perairan Pahang, khususnya di sekitar Pulau Tioman, sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan sebelum dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading, Rompin.
“Namun begitu, kami menyeru komuniti maritim agar mengutamakan langkah pencegahan dan tidak mengambil risiko keluar ke laut ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.
Orang ramai juga disarankan supaya menangguhkan aktiviti rekreasi di pulau dan pantai semasa cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti lemas dan terkandas.
Beliau menasihatkan orang awam supaya menyemak ramalan cuaca terlebih dahulu sebelum keluar ke laut, memastikan bot berada dalam keadaan baik serta dilengkapi jaket keselamatan, membawa alat komunikasi seperti radio atau telefon bimbit.
Mereka juga dinasihatkan untuk memaklumkan destinasi pelayaran kepada ahli keluarga atau rakan, serta menyimpan nombor talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345/7368 bagi melaporkan kejadian kecemasan di laut. – MalaysiaGazette
















