GEORGE TOWN – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas merampas serbuk disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai hampir RM3.4 juta dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini.
Selain itu, tujuh individu termasuk dua wanita warga asing turut ditahan dalam serbuan bermula 4 petang semalam hingga 3 pagi hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan dibuat hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut dan Seberang Perai Tengah (SPT) yang menjejaki kegiatan sindiket terbabit sejak pertengahan tahun ini.
Katanya, serbuan pertama dan kedua membawa kepada tangkapan sepasang lelaki dan wanita di kawasan tempat letak kereta di sini sebelum menemui 235 paket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki MDMA seberat 5.7 kilogram (kg) serta 17.5 gram (g) dadah ketamin.
“Hasil soal siasat terhadap dua suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Seberang Jaya sekitar jam 3 pagi tadi, yang menyaksikan empat lelaki dan seorang wanita ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azizee berkata, pemeriksaan di rumah tersebut membawa kepada penemuan tiga balang plastik berisi serbuk disyaki MDMA seberat 2.66 kg dan 438 paket plastik lutsinar berisi serbuk sama seberat 14.53 kg sekali gus menjadikan keseluruhan rampas bernilai RM3.4 juta.
“Dalam operasi sama kita turut menyita dua kereta jenis Nissan Teana dan Proton Preve bernilai kira-kira RM40,000 bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
“Selain itu, tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek berusia 31 hingga 54 tahun direman tujuh hari bermula 31 Oktober hingga 6 November bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette















