KUALA LUMPUR – Penganjuran Academia–Industry Collaboration (AIC) 3.0 2025 telah mencerminkan aspirasi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) untuk memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan berdaya saing global.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya. Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, program itu bukan sahaja meraikan kecemerlangan pelajar malah memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Katanya, melalui jaringan kolaborasi yang kian meluas bersama rakan industri dan universiti antarabangsa, UPTM komited untuk terus memacu agenda pembangunan modal insan yang holistik, inovatif, serta berimpak tinggi demi kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat.
“Program ini berperanan mempertingkat kebolehpasaran graduan UPTM melalui pendedahan kepada jaringan profesional serta memperluas kolaborasi dengan rakan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Inisiatif ini turut membuka ruang lebih luas kepada peluang kerjaya menerusi penganjuran Pameran Kerjaya yang melibatkan penyertaan 17 syarikat terkemuka yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, latihan industri dan sesi temuduga kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Majlis perasmian AIC 3.0 2025: Celebrating UPTM Students’ Excellence and Future Career disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Pro-Canselor UPTM, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Lebih bermakna, acara ini juga menyaksikan 30 pemeteraian kerjasama strategik antara UPTM, rakan industri, dan universiti antarabangsa, sekali gus memperkukuh jaringan global dan memperkasa sinergi antara dunia akademik serta industri dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berwawasan.
Majlis sama turut berperanan sebagai platform rasmi pengiktirafan kecemerlangan akademik melalui Majlis Apresiasi Siswa (MAS), yang meraikan seramai 640 pelajar cemerlang penerima Anugerah Dekan bagi Sesi Julai 2025 (0725) dan Disember 2024 (1224).
Pengiktirafan itu bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap usaha, disiplin, dan komitmen tinggi para pelajar, malah berfungsi sebagai sumber inspirasi dan motivasi kepada seluruh komuniti pelajar UPTM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette
















