KUALA LUMPUR – Wartawan yang terlibat dalam kontroversi dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dicadang supaya membuat aduan kepada Majlis Media Malaysia yang baru ditubuhkan bagi menguji kebergunaannya.
Tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin menasihatkan, orang politik terutama yang menganggotai Kabinet, berinteraksilah secara sopan dan produktif dengan wartawan.
Menurutnya, wartawan yang mengkritik itu pun berguna, sebaliknya wartawan yang mengampu pula tidak semestinya membantu.
“Menteri ada maklumat yang hendak disampaikan kepada orang ramai melalui media massa. Wartawan pula ada maklum balas daripada orang ramai,” katanya menerusi Facebook.
Tambah beliau, Kerajaan Madani ini pun bukan baru lagi, sudah dekat tiga tahun.
“Takkan hendak terus bersikap konfrontasi macam pembangkang lagi?,” soal beliau.
Mengulas mengenai penggunaan nama berbahasa Inggeris bagi program “I Lite U” di ibu kota Kuala Lumpur, Kadir berkata, baguslah hendak warna-warnikan Bukit Bintang.
Tapi tak payahlah hendak tukar jadi Ginza (Tokyo) atau Orchard Road (Singapura).
“Bukit Bintang adalah Bukit Bintang. Slogan dan tagline wajib dalam Bahasa Kebangsaan dengan Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain sebagai pelengkap.
“Tapi penggunaan bahasa kebangsaan itu wajib betul dan tepat,” katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyelar tindakan menteri terhadap seorang wartawan Utusan Malaysia seperti video tular.
Menurut NUJM, sepertimana wartawan berpegang kepada etika, ahli politik juga harus sedar mereka juga wajib beretika.
Tindakan itu bukan sahaja tidak wajar malah dilihat sebagai cubaan untuk menakutnakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia. – MalaysiaGazette
















