KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyelar tindakan menteri terhadap seorang wartawan Utusan Malaysia seperti video tular.
Menurut NUJM, sepertimana wartawan berpegang kepada etika, ahli politik juga harus sedar mereka juga wajib beretika.
NUJM memandang serius tindakan seorang menteri yang didakwa telah mengugut seorang wartawan dengan cubaan memanggil editor Utusan Malaysia selepas mengajukan soalan dalam satu sidang media.
Tindakan itu bukan sahaja tidak wajar malah dilihat sebagai cubaan untuk menakutnakutkan serta menekan kebebasan media di Malaysia.
“Diingatkan, wartawan berkenaan telah melaksanakan tugasnya secara profesional iaitu mengemukakan soalan secara sopan dan teratur di dalam sidang akhbar rasmi dan langkah ini selari dengan prinsip kewartawanan beretika.
Mengikut maklumat lapangan, NUJ difahamkan wartawan itu sekadar bertanya soalan mengenai penggunaan Bahasa Melayu dan tiada sebarang provokasi cuba dilakukan sama ada untuk menggugat isu kepentingan atau ketenteraman negara.
Soalan yang dibangkitkan juga adalah pertanyaan mudah yang boleh dijawab dengan mudah oleh pihak kerajaan khususnya seorang menteri.
“Sebagai seorang penjawat awam, seorang menteri wajar menghormati peranan media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat dan bukannya memperlekeh atau memberi tekanan kepada wartawan hanya kerana soalan yang dikemukakan adalah tidak selesa untuk dijawab.
“Tindakan memanggil editor untuk “memberi penjelasan” mengenai soalan wartawan di sidang media itu jelas menghantar mesej yang salah dan berbahaya, seolah-olah wartawan
harus dihukum kerana melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan bertanggungjawab,” kata NUJM dalam kenyataan.
Sementara itu, Geramm pula memandang serius insiden melibatkan ugutan dan penghinaan seorang menteri terhadap wartawan Utusan Malaysia yang sedang menjalankan tugas seperti yang tular di media sosial.
“Sebagai organisasi yang memperjuangkan kebebasan media dan keselamatan wartawan, Geramm menegaskan bahawa wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya — terutama kepada ahli politik dan penjawat awam — bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam.
“Soalan wartawan bukan serangan peribadi. Ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menjadi asas kepada demokrasi.
“Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu dan bukan untuk memalukan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Oleh itu, menurut Geramm, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak beradab dan tidak boleh diterima lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang menteri.
“Seorang menteri perlu memahami kebebasan media bukan ancaman, tetapi asas kepada ketelusan pentadbiran. Wartawan tidak perlu dipuji, tetapi juga tidak wajar dijadikan sasaran penghinaan hanya kerana bertanya soalan yang sukar.
Sikap menghina atau mengugut wartawan memberi isyarat buruk kepada masyarakat dan mencipta suasana takut dalam kalangan pengamal media yang akhirnya menghakis keberanian untuk bertanya perkara yang benar-benar penting,” katanya. – MalaysiaGazette
















