KUALA LUMPUR – Secara purata, penerima Budi Madani (BUDI95) di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk bulan Oktober 2025, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat 26 Oktober 2025, 0.6 peratus pengguna persendirian telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter.
Manakala 0.3% peratus pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter.
Menurut beliau, sehingga 31 Oktober 2025, seramai 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi Budi Madani (BUDI95) dengan membelanjakan sebanyak RM2.66 bilion pada bulan pertama pelaksanaannya.
Jumlah ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Kementerian Kewangan berkata, jumlah transaksi ini melibatkan pembelian sebanyak 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi.
Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah menyalurkan subsidi sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“BUDI95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, serta membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Sejak 13 Oktober 2025, kerajaan menaikkan had siling kelayakan bulanan RON95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, yang digandakan kepada 600 liter sebulan dan memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing.
Amer Hamzah berkata, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pelaksanaan BUDI95, termasuk semakan terhadap had kelayakan tambahan bagi pemandu e-hailing supaya lebih saksama dan menyeluruh.
Kementerian Kewangan juga telah mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa, termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh singkat dan berulang kali membeli petrol di stesen berhampiran sempadan negara, katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna bagi memastikan manfaat BUDI95 tidak diselewengkan.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan. Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak terlibat,” ujarnya. – MalaysiaGazette














