KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertemu rakan sejawat dari Amerika Syarikat, Thailand dan Kemboja sempena Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus ke-12 yang sedang berlangsung ketika ini.
Ia melibatkan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit.
Beliau berkata, pertemuan itu bagi sama-sama menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Kuala Lumpur Peace Accord iaitu satu langkah bersejarah ke arah keamanan dan kestabilan berkekalan di sempadan Kemboja dan Thailand yang difasilitasi oleh Malaysia.
“Malaysia kekal komited menyokong proses perdamaian ini melalui dialog berterusan, kepercayaan serta kerjasama serantau berteraskan semangat “ASEAN Unity for Security and Prosperity,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, Perjanjian Damai Kuala Lumpur dimeterai antara Thailand dan Kemboja sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka secara aman.
Perjanjian itu menandakan langkah rasmi untuk menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara itu.

Sementara itu, Mohamed Khaled juga mengadakan mesyuarat dua hala yang produktif bersama Menteri Pertahanan India, Shri Rajnath Singh di di sela-sela ADMM-Plus ke-12.
Beliau berkata, kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen kukuh untuk memperkasa kerjasama pertahanan ASEAN-India, termasuk usaha bersama di bawah Malaysia-India Defence Cooperation Committee (MIDCOM) bagi memperkukuh dialog strategik, latihan, dan inisiatif pembangunan keupayaan.
“Malaysia dan India turut bersetuju untuk meneroka penyertaan yang lebih meluas dalam pameran pertahanan serta kerjasama industri, mencerminkan aspirasi bersama untuk mempertingkat inovasi, kebolehoperasian, dan kestabilan serantau,” katanya.
ADMM dan ADMM-Plus kali ini akan menjadi antara yang paling signifikan sejak penubuhannya pada 2006 di mana sebanyak 20 inisiatif akan dipacu.
Ia menggambarkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh kepercayaan, ketelusan dan kerjasama keselamatan di rantau Asia Tenggara selaras prinsip ASEAN yang menolak konfrontasi dan menekankan dialog serta persefahaman bersama.
Selain itu, semua 11 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste yang baharu diterima sebagai anggota penuh mengesahkan kehadiran pada mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pada masa sama, lapan negara rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Russia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand turut mengesahkan kehadiran. – MalaysiaGazette
















