KUANTAN – Sebanyak 18 projek diluluskan di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dengan nilai pelaburan RM25.3 bilion direkodkan sehingga 30 Jun lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan telah mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.
“Kawasan Perindustrian Gebeng ini merupakan lokasi yang amat strategik kerana kedudukannya yang bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan yang moden.
“Selain itu, sebuah stesen di bawah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga sedang dibina di Gebeng iaitu Stesen ECRL-Bandar Pelabuhan Kuantan yang akan melengkapkan jaringan perhubungan dan akses ke kawasan perindustrian dan Bandar Pelabuhan Kuantan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Program Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Industri Kuantan, di Kawasan Pendustrian Gebeng, di sini, hari ini.
Kedudukan strategik antara faktor menarik potensi pelaburan di MCKIP dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan alat ganti kenderaan, produk gentian simen dan keluli tahan karat.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sehingga September 2025, Pahang merekodkan pelaburan berjumlah RM17.43 bilion, melebihi sasaran tahun ini sebanyak RM14.09 bilion, serta mewujudkan lebih 11,000 peluang pekerjaan. – MalaysiaGazette
















