Pengerusi AJK Bertindak Rantau Utara Batu 11 Gombak, Mazlan Abdul Rashid bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

GOMBAK – Lebih 70 penduduk Kampung Batu 11, di sini, berdepan risiko diusir dari 24 kediaman masing-masing selewat-lewatnya pada 10 November ini susulan pengeluaran notis merah yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Selangor sejak 9 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rantau Utara Batu 11, Mazlan Abdul Rashid berkata, kini hanya tinggal sembilan hari sahaja sebelum kediaman mereka dirobohkan pihak berkuasa tanpa sebarang belas ihsan dan peri kemanusiaan.

“Kami tidak pernah menghalang pembangunan, namun pembangunan insan juga perlu diambil berat.

“Notis pertama perobohan rumah pada 15 Oktober 2024 sehingga 9 Oktober 2025, kira-kira setahun notis ini, dalam tempoh itu, apakah tiada perancangan pihak berkuasa untuk penduduk di sini.

“Adakah ada sedikit imbuhan atau rumah transit sebagai penempatan sementara sebelum dipindahkan ke rumah kekal buat selama-lamanya.

“Saya akui kepimpinan di bawah pemerintah Kerajaan Madani amat baik, namun saya mewakili semua penduduk amat berharap masalah mereka diuruskan dengan peri kemanusiaan.

“Saya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dapat membantu kami,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Penduduk Kampung Batu 11 membuat berkumpul susulan pemberian notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Terdahulu kira-kira 30 penduduk Kampung Batu 11, di sini, berhimpun menyatakan bantahan terhadap tindakan Jabatan Perhutanan Selangor yang mengeluarkan notis merah untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum 10 November ini.

MalaysiaGazette difahamkan, notis merah itu atas arahan Pengarah Perhutanan Selangor ditampal di pintu kediaman penduduk membabitkan 24 rumah.

Notis merah itu memaklumkan perbuatan penduduk terbabit merupakan suatu kesalahan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu “Menceroboh Dengan Apa Jua Cara, Bercucuk Tanam/Kebun, Melepaskan Ternakan, Membina Binaan Atau Menjalankan Apa-Apa Aktiviti Dalam Kawasan Hutan Simpanan Kekal Secara Tanpa Kebenaran”.

Jika disabitkan di bawah subseksyen 32(2) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Setiausaha AJK Bertindak Rantau Utara Batu 11 Gombak, Nor Fahizariha Darus bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Rantau Utara Batu 11, Nor Fahizariha Darus, 37, walaupun pihaknya ada menghantar surat rayuan kepada beberapa pimpinan negara dan negeri, namun tiada seorang pun sudi membantu.

“Pada 15 Oktober 2024, kami telah menerima notis membabitkan 17 rumah dan kita telah mendapat penangguhan, kemudian pada 9 Oktober lalu, kita telah menerima notis kedua daripada pejabat Perhutanan meminta keluar pada 10 November ini.

“Kami telah menghantar surat kepada ketua kampung, penghulu mukim Gombak, Setiausaha Politik Menteri Besar, Setiausaha Politik TPM, ahli majlis dan pejabat Perhutanan sendiri, bukan menghalang, tetapi meminta belas ihsan untuk mendapatkan penangguhan.

“Sehingga sekarang tiada langsung pemerintah yang turun padang dengar permasalahan kami. Kami meminta bantuan dengan cara baik, kami memohon semua pemimpin yang bertanggungjawab, turunlah, bantulah kami.

“Mungkin undi dan jasa kami tidak nampak, tapi kami ini warganegara Malaysia dan merupakan pemegang kad pengenalan biru,” katanya.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup pula mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak menggunakan kuasa hanya untuk merobohkan penempatan orang Melayu.

“Kerajaan MADANI dan pihak berkuasa, jangan acap kali nak meroboh perkampungan Melayu yang dibina berpuluh tahun lamanya, nanti nampak buruk pada pandangan masyarakat lain.

“Orang Cina tengok kita ini asyik diroboh sahaja, kita bukan nak menentang pembangunan, sekurang-kurangnya jenguklah kami, tanya khabar penduduk di sini, belai kasih sayang, itu sahaja kami nak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast