Penduduk, Abu Bakar Alang Mat Isa, 86 bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas diserang sakit jantung selepas menerima notis merah daripada Jabatan Perhutanan Selangor supaya mengosongkan kediamannya di Kampung Batu 11, di sini, selewat-lewatnya 10 November ini.

Menurut seorang penduduknya, Abu Bakar Alang Mat Isa, 86, akibat terlalu memikirkan notis tersebut, ditambah pula kekangan kewangan serta tidak bekerja, dia diserang penyakit jantung dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), bulan lalu.

“Pakcik kena serangan jantung dua hari lepas dapat notis merah Jabatan Perhutanan. Pakcik fikir-fikir sampai kena serangan jantung, lepas itu masuk hospital besar (HKL).

“(Bimbang) tak ada duit, tak ada kerja, umur pula sudah 86 tahun, minta kerja orang pun tak bagi, harta tak ada, kalau ada tempat lain pakcik tak kisah, ini tak ada apa-apa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Imam Surau Batu 11 Gombak, Johani Ibrahim bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Terdahulu kira-kira 30 penduduk Kampung Batu 11, di sini, berhimpun menyatakan bantahan terhadap tindakan Jabatan Perhutanan Selangor yang mengeluarkan notis merah untuk mengosongkan kediaman masing-masing sebelum 10 November ini.

Penduduk Kampung Batu 11 membuat berkumpul susulan pemberian notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

MalaysiaGazette difahamkan, notis merah itu atas arahan Pengarah Perhutanan Selangor ditampal di pintu kediaman penduduk membabitkan 24 rumah.

Notis merah itu memaklumkan perbuatan penduduk terbabit merupakan suatu kesalahan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu “Menceroboh Dengan Apa Jua Cara, Bercucuk Tanam/Kebun, Melepaskan Ternakan, Membina Binaan Atau Menjalankan Apa-Apa Aktiviti Dalam Kawasan Hutan Simpanan Kekal Secara Tanpa Kebenaran”.

Antara 24 buah rumah di Kampung Batu 11 Gombak yang terletak di sepanjang Sungai Gombak diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Jika disabitkan di bawah subseksyen 32(2) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan tetapi tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Penduduk, Abu Bakar Alang Mat Isa, 86 bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Dalam pada itu, Abu Bakar juga merayu kepada pihak berkuasa tidak meneruskan notis merah itu dan tidak menghalang sebarang usaha untuk melakukan rundingan termasuk pampasan kepada setiap penduduk yang terlibat.

“Saya mohon kepada pihak berkuasa memberikan bantuan kepada kami untuk menyelesaikan masalah-masalah kami yang kami hadapi masa sekarang.

“Kami minta jasa baik pihak berkuasa menerima permohonan kami (rundingan). Kalau kami pindah, saya nak ke mana? Saya nak duduk mana? Rumah tiada lain, tiada pencen, tiada apa-apa, tiada. Yang ada itulah rumah yang ada sekarang,” katanya.

Imam Surau Batu 11 Gombak, Johani Ibrahim bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Menurut Pencetus Ummah (PU) Johani atau nama sebenar Johani Ibrahim, penduduk berasa terkilan apabila 24 pemilik rumah yang terlibat notis itu tidak ditawarkan sebarang imbuhan mahupun pampasan.

“Kami rasa ralat kerana pihak berkuasa memilih untuk memberi pampasan, ada saudara-saudara kami yang sudah rumahnya dirobohkan, status sama iaitu tanah perhutanan, tapi mereka dapat saguhati RM10,000 hingga RM20,000.

“Kenapa kami tidak dijanjikan perkara tersebut (pampasan), malah tiada satu kontraktor pun datang kepada kami untuk berunding dengan kami.

“Kita tak tahu mereka sembunyikan projek apa, mungkin kontraktor takut kita tuntut, kalau nak ambil tanah sekalipun, masukkan perkara itu sebagai kos kontraktor, fikirkan kebajikan kita, baru ada sedikit kemanusiaan,” katanya.

Penduduk, Baharin Abu, 70 bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Bagi penduduk asal Kampung Batu 11, Baharin Abu, 70, dia melahirkan rasa kecewa apabila menerima layanan teruk daripada pihak berkuasa yang mahu mengusir mereka dengan memberi notis pendek.

“Bila berlaku bencana seperti ini, saya rasa kecewa, mereka (pihak berkuasa) tindas kami dan anggap kami macam sampah masyarakat, tak datang bagi tahu, akhirnya nak roboh kampung, mana perasaan nak bantu Melayu, beginikah orang kita.

“Halau keluar buta-buta, dakwa saya ceroboh tanah perhutanan dan hak kerajaan. Tolong fikirkan anak-anak nak sekolah, kena tukar sekolah, kami pula dihalau dalam keadaan macam ini (serba kekurangan),” katanya.

Penduduk, Aminah Kadir, 62 tidak dapat menahan sebak ketika bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Seorang lagi penduduk, Aminah Kadir, 62, dia yang mendiami kawasan itu lebih 50 tahun berada sangat terkilan, apatah diusir pihak berkuasa tanpa rundingan dan tanpa pampasan sewajarnya.

“Kami duduk di sini sudah lama, kawasan sini dulu semuanya hutan, api (elektrik) dan bekalan air pun tak ada. Kami sanggup pakai air bukit, sampai masuk elektrik secara berkumpulan.

“Kami duduk di sini elektrik pun tiada lagi, bas pun tak masuk kawasan ini, berhenti kat kubur sana (Batu 8 Gombak), lepas itu kami balik rumah jalan kaki. Sekarang nak halau kami macam itu sahaja,” katanya.

Aminah berkata, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan arahan tersebut kerana mereka juga merupakan pembayar cukai pintu di Selangor.

“Kami bayar cukai pintu tiap-tiap tahun, bukan tak bayar, takkan halau kami macam itu sahaja,” katanya.

Ketua Belia Surau Silaturrahim Batu 11 Gombak, Anuar Md Yusof bercakap kepada media susulan 24 buah rumah di Kampung Batu 11 diberi notis pengosongan dan berdepan tindakan perobohan rumah di Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2025.

Sementara itu, bagi Ketua Pemuda Jawatankuasa Bertindak Rantau Utara Batu 11, Anuar Md Yusof, 39, memohon jasa baik pemimpin masyarakat termasuk Kerajaan Negeri Selangor turun padang menyantuni penduduk terlibat.

“Jangan masa pilihan raya sahaja baru nampak muka, anak-anak muda seperti kami yang selalu menghidupkan kampung ini dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk gotong-royong.

“Tanpa penglibatan kami, mungkin kampung ini hanya tinggal nama sahaja. Minta jasa baik semua pemimpin atasi masalah ini, semua masalah pasti ada penyelesaiannya.

“Takkan hanya bagi notis macam ini, tiba-tiba bagi lepas itu suruh keluar, tak boleh macam ini, kami bukan orang senang, banyak tanggungjawab, ada mak ayah uzur dan OKU duduk sini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast