KUANTAN – Terdapat enam kes penipuan tawaran kerja sambilan atas talian direkodkan pihak polis pada 25 Oktober hingga 2 November baru-baru ini yang melibatkan kerugian hampir RM60,000.00.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kesemua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas diperdaya sindiket yang beroperasi menerusi pelbagai platform media sosial.
“Kesemua mangsa diperdaya oleh sindiket melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok, WhatsApp dan Telegram, yang menawarkan kerja sambilan seperti tugasan “like & share” serta “screenshot” bagi mendapatkan komisen.
“Modus Operandi (MO) sindiket adalah menawarkan tugasan mudah dan memberi komisen kecil pada peringkat awal,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, taktik penipuan turut dilakukan melalui penghantaran bungkusan berisi satu bekas Tupperware serta hadiah berupa sebotol air yang kononnya penghargaan daripada TikTok ke alamat rumah mangsa.
Mangsa kemudian mengimbas kod QR yang tertera pada bungkusan itu, kemudian kehilangan wang simpanan dalam akaunnya.
“Selepas itu, sindiket gagal dihubungi dan mangsa menyedari telah ditipu. Kaedah ini turut melibatkan penggunaan akaun bank berbeza bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan kini dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuantan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambah Mohd Adli lagi.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
Mohd Adli turut menasihati masyarakat agar mengelak daripada menekan pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali.
Masyarakat boleh menyemak akaun penerima melalui Semak Mule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat bayaran dan laporkan segera kepada National Scam Response Center (997) atau balai polis berhampiran jika mengesyaki penipuan. – MalaysiaGazette
















