Dari kiri : Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal; Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff dan Mohd Hamirul Aliff Abd Halim

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan sumbangan wang perbelanjaan kepada pelumba cilik, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff yang akan mewakili negara ke perlumbaan FIM MiniGP Final 2025 di Valencia, Sepanyol.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri berbangga dan menghargai pencapaian kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang berjaya ke peringkat dunia dalam sukan permotoran.

“Tahniah dan syabas kerana pelumba cilik pertama Pahang yang akan bertanding mewakili negara ke peringkat dunia. Kerajaan negeri cukup berbangga dengan pencapaian ini.

“Dalam tempoh hampir tiga tahun ini, kerajaan negeri juga ada memberi bantuan sehingga RM18,000 buat Al-Adam dan dalam tempoh ini, banyak pencapaian hebat yang dicapai,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal

Beliau berkata demikian ketika bertemu Al-Adam dan bapanya, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim, 33 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.

Menurut Fadzli, kerajaan negeri menyambut baik dan sentiasa menyokong bakat-bakat muda yang berminat menceburkan diri dalam sukan permotoran kerana ia dapat membina karakter mereka.

“Dalam masa sama, kita nak anak-anak muda terlibat dalam aktiviti sihat sebab seperti kita lihat, sekarang banyak pengaruh gajet, media sosial dan internet yang kadang-kadang melekakan dan memberi kesan kepada mereka.

“Daripada mereka asyik dengan permainan atas talian dan sebagainya, lebih baik melakukan aktiviti sukan permotoran ini yang sudah tentu menuntut disiplin yang tinggi, kesungguhan dan menggalakkan gaya hidup sihat,” tambahnya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal (kiri) bertemu Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff (tengah) dan bapanya, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim (kanan) di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan hari ini

Difahamkan, Al-Adam dan bapanya akan berlepas ke Valencia pada 5 November ini bagi sesi latihan dan penyesuaian jentera sebelum sesi perlumbaannya dalam kategori 160cc pada 14 November.

Mengulas persiapan sebelum berlepas ke Sepanyol, Al-Adam memberitahu sudah membuat latihan secukupnya dan akan berusaha sebaiknya ketika perlumbaan nanti.

“Saya dah siap berlatih. Saya gembira sebab ini pertama kali ke Valencia dan saya akan cuba buat yang terbaik. Tempoh menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sana dijangka dalam masa seminggu juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast