Xisco (kiri) dan Raul dalam sidang akhbar menjelang perlawanan antara JDT dan Shanghai Shenhua dalam saingan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berkata, anak buahnya kini berada dalam momentum terbaik dan mahu mempamerkan karakter sebenar dalam menentang Shanghai Shenhua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACLE) esok.

Ketua Jurulatih Harimau Selatan itu berkata, kesebelasan JDT nanti tekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menentang pasukan pelawat tersebut.

“Kami bermain di rumah sendiri, jadi kami mahu tiga mata. Momentum sekarang sangat positif dan pemain berada pada keyakinan tinggi,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Menurut anak kelahiran Sepanyol itu, keseimbangan antara serangan dan pertahanan menjadi kunci utama bagi memastikan JDT mampu mengekang ancaman lawan yang kini bersaing di kelompok teratas Liga Super China.

“Kami perlu beraksi agresif sejak minit pertama, tunjukkan gaya permainan dan personaliti sebenar pasukan. Liga Juara-Juara ini sangat menuntut dan setiap detik penting,” katanya.

Munoz turut mengingatkan barisan pemain agar tidak terlalu memikirkan kemenangan 3-0 ke atas kelab China itu musim lalu kerana pertembungan kali ini berbeza serta lebih mencabar.

“Ini perlawanan baharu. Kami perlu memberi 100 peratus untuk hadiahkan kemenangan pertama di tempat sendiri kepada penyokong,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan JDT, Raul Parra menegaskan mereka perlu kekal kompak dan berjuang sebagai satu pasukan bagi mengekalkan rekod positif dalam kejohanan berprestij Asia tersebut.

“Di China, kami buktikan sukar untuk ditembusi apabila semua bertahan sebagai satu unit. Di laman sendiri, kami perlu lebih kuat, lebih agresif,” katanya.

Raul berkata, kehadiran pemain berkualiti dalam skuad JDT menjadikan persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama cukup sengit namun itu memberi kesan positif buat pasukan.

“Tak kisah siapa yang bermain, semua perlu beri 100 peratus. Kami mahu tiga mata di sini dan terus kejar misi menjadi juara,” ujarnya.

JDT ketika ini berada dalam kedudukan meyakinkan dalam kumpulan selepas mencatat keputusan positif dalam aksi sebelum ini dan kemenangan esok bakal mengukuhkan kedudukan mereka dalam perebutan tiket ke pusingan seterusnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast