Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi bersetuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa perpecahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah perpecahan orang Melayu.

Menurut Puad, kenyataan itu tepat kerana pada hakikatnya penubuhan Bersatu sendiri menjadi punca utama kepada perpecahan politik Melayu sejak beberapa tahun lalu.

“Tun Mahathir adalah betul apabila dia kata perpecahan Bersatu bukan perpecahan Melayu.

“Bahkan penubuhan Bersatu itu penyumbang kepada perpecahan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Puad yang juga Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengulas kenyataan Mahathir dimana berkata kemelut dalaman yang melanda Bersatu tidak mencerminkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Malah Mahathir turut berkata, pergolakan yang berlaku ketika ini hanya melibatkan bekas partinya semata-mata dan tidak memberi kesan terhadap perjuangan penyatuan bangsa Melayu.

Bercakap mengenai itu, Puad menambah, sejak Bersatu memegang kuasa, parti itu tidak pernah berada dalam keadaan harmoni dan sering dihantui perebutan jawatan serta kepimpinan dalaman.

“Sejak berkuasa, Bersatu tidak pernah aman. Semuanya gila kuasa. Tun M sendiri disingkir daripada Bersatu.

“Bersatu bertanggungjawab tubuh PN yang membunuh Muafakat Nasional. Maka diharap perpecahan dalaman Bersatu itu berakhir dengan parti itu dibubarkan dan mereka menyertai semula UMNO,” katanya.

Beliau menegaskan, contoh terbaik boleh dilihat melalui pembubaran Parti Semangat 46 yang akhirnya kembali bersama UMNO demi penyatuan politik Melayu.

“Ambil contoh pembubaran Semangat 46. Mereka menyertai semula UMNO. Bersatu didokong oleh katak. Diharap PRN Sabah membuka jalan parti itu akan berakhir,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletakkan jawatan selepas mendakwa beliau telah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya ketika menubuhkan parti itu.

Saifuddin berkata, Muhyiddin kini tidak lagi menunjukkan ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti dahulu.

Malah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turutvmendakwa, Muhyiddin mempunyai personaliti yang sukar didekati, sekali gus menyebabkan ramai pemimpin akar umbi lebih selesa dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/2025/11/03/kemelut-dalam-bersatu-bukan-cerminan-melayu-berpecah-tun-m/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast