KUALA LUMPUR – Tekanan perasaan menjadi motif seorang ibu disyaki membunuh anak perempuannya berusia empat tahun sebelum bertindak menggantung diri sampai mati di Taman Perak, Kulim Kedah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, dalam kejadian pukul 11 malam itu, wanita berusia 30 tahun ditemui mati tergantung di kipas siling manakala anaknya terbaring tidak bernyawa di atas katil akibat dilemaskan.
“Kita turut menemui nota yang ditinggalkan wanita itu yang menyatakan permohonan maaf kepada semua pihak dan memberitahu dirinya tidak sanggup menanggung rasa sakit di hati.
“Dia juga mengatakan anak-anaknya tidak boleh tinggal dengan sesiapa dan disebabkan itu dia terpaksa membawa mereka bersama,” katanya ketika seperti dilaporkan media hari ini.
Bagaimanapun dalam kejadian itu seorang anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sempat melarikan diri daripada tindakan tersebut.
Jelas Zulkifli, insiden itu disedari seorang jiran apabila terdengar jeritan meminta tolong daripada kanak-kanak lelaki terbabit dan terus ke rumah berkenaan.
Ujar beliau sebaik jirannya tiba di rumah itu mendapati wanita terbabit dan anak perempuannya tidak bernyawa lagi.
“Jiran bertindak menghubungi polis dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk atau unsur pencerobohan di rumah terbabit.
“Pemeriksaan terhadap anak lelaki menemui kesan jerut pada leher dan lebam pada bahagian rahang dan mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Zulkifli berkata, pemeriksaan lanjut polis menemui dua nota tulisan tangan, Mykad dan Mykid tiga beranak terbabit serta kad ATM.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















