RAUB – Kegagalan sistem brek dan masalah pada bahagian tayar mengakibatkan sebuah lori jenis Hino kemalangan dan terbalik di tengah jalan di kilometer 35 Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati, lori yang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Gua Musang, Kelantan mengalami masalah pada bahagian tayar dan juga sistem brek sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.
“Kejadian itu mengakibatkan berlaku tumpahan minyak di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan.
Selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu, beliau berkata, anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bergegas ke lokasi dan mengawal keadaan lalulintas.
Tambah Mohd Shahril, pihak bomba juga telah dihubungi untuk membersihkan kesan tumpahan minyak di lokasi kemalangan itu.
“Keadaan lalulintas di tempat kejadian adalah dalam keadaan terkawal dengan pembukaan satu lorong di laluan kecemasan dan bahu jalan,” jelasnya lagi.
Beliau dalam pada itu berkata, pemandu lori yang merupakan lelaki berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kemalangan itu. – MalaysiaGazette
















