KUANTAN – Seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun di Kampung Padang, di sini, ditahan polis bagi membantu siasatan, semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin apabila kanak-kanak itu ditahan suspek yang berusia 25 tahun itu semasa melalui deretan kedai di kawasan tersebut.
“Mangsa telah dibawa ke kawasan semak dan dipercayai telah diliwat.
“Tapi kita masih dalam siasatan. Selain itu, polis juga masih dalam proses untuk merujuk mangsa ke pihak hospital bagi pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Daerah Jerantut dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan/Perundangan Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Tambah Yahaya, suspek yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira jam 11.15 pagi semalam di rumahnya di Kampung Padang dan permohonan reman dibuat pagi ini bagi siasatan lanjut.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau jenayah serangan seksual dan narkotik. – MalaysiaGazette
















