KUANTAN – Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki memandu sebuah pacuan empat roda di bawah pengaruh alkohol di Jalan Air Putih, di sini pukul 11.18 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, lelaki berusia 61 tahun itu didapati memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan berhampiran sebuah kedai serbaneka di lokasi tersebut.
“Hasil ujian saringan awal nafas (S-D2+) mendapati pemandu mempunyai tahap alkohol melebihi had dibenarkan.
“Lelaki itu seterusnya dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk menjalani ujian pernafasan EBA-II dan mengesahkan bacaan tahap alkohol melebihi had dibenarkan,” katanya ketika dihubungi.
Adli berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tambahnya, lelaki itu telah diberi jaminan pihak polis sehingga tarikh pendakwaan di Mahkamah diperoleh kelak.
Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette
















