Zohran Mamdani memenangi jawatan Datuk Bandar New York. AFP

NEW YORK – Zohran Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar New York yang baharu sekali gus menandakan kemuncak kebangkitan luar biasa oleh ahli politik berhaluan kiri yang sebelum ini kurang dikenali.

Mamdani yang dilahirkan di Uganda, muncul daripada dunia politik tempatan tanpa nama besar namun berjaya memimpin kempen berprofil tinggi untuk merebut jawatan tertinggi di bandar mega Amerika Syarikat (AS).

Sejak memenangi pemilihan calon Parti Demokrat Jun lalu, warga New York sudah terbiasa melihat wajahnya di kaca televisyen dan beliau adalah orang Islam pertama menjawat jawatan itu.

Mamdani mengalahkan calon bebas, bekas Gabenor Andrew Cuomo yang mendapat sokongan terbuka Presiden AS, Donald Trump, dan calon Rupeblikan, Curtis Sliwa.

Ahli politik berusia 34 tahun itu dilahirkan keluarga berketurunan India dan menetap di AS sejak berusia tujuh tahun, sebelum menjadi warganegara pada 2018.

Beliau adalah anak kepada pengarah filem terkenal Mira Nair (“Monsoon Wedding,” “Mississippi Masala”) dan Mahmood Mamdani, seorang profesor serta pakar Afrika yang dihormati, menjadikan sesetengah pengkritiknya melabel beliau sebagai “nepo baby” atau anak yang berjaya kerana pengaruh keluarga.

Seperti remaja daripada keluarga liberal elit, beliau mendapat pendidikan di Bronx High School of Science yang berprestij sebelum melanjutkan pelajaran ke Bowdoin College di Maine, sebuah universiti yang dianggap kubu pemikiran progresif.

Pada 2015, menggunakan nama pentas “Young Cardamom,” beliau mencuba nasib dalam dunia rap, dipengaruhi kumpulan hip-hop “Das Racist” yang dianggotai dua artis berketurunan India.

Namun, kerjaya muziknya tidak bertahan lama, dan beliau kemudian berseloroh dirinya hanyalah “artis kelas kedua”.

Minatnya terhadap politik bermula apabila beliau mengetahui bahawa rapper Himanshu Suri (Heems) menyokong seorang calon majlis bandar raya dan Mamdani menyertai kempen berkenaan sebagai aktivis.

Mamdani kemudian bekerja sebagai kaunselor pencegahan penyitaan rumah, membantu pemilik rumah yang berdepan masalah kewangan supaya tidak kehilangan kediaman mereka.

Beliau dipilih sebagai wakil rakyat dari Queens pada 2018, kawasan yang terkenal sebagai komuniti pelbagai etnik dan penduduk berpendapatan rendah, mewakili daerah itu dalam Perhimpunan Negeri New York.

Antara perjuangan beliau adalah untuk menjadikan New York lebih mampu didiami bagi golongan bukan berada iaitu majoriti daripada kira-kira 8.5 juta penduduknya, sebagai teras kempen pilihan raya.

Janji lain termasuk kawalan sewa lebih ketat, penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan bas percuma, serta pasar raya komuniti yang diuruskan bandar. -AFP

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast