Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar rampasan dadah jenis ganja pada sidang media khas di Ruang Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 06 NOVEMBER 2025

SEPANG – Hasrat dua pasang kekasih untuk menyeludup ganja seberat 86 kilogram bernilai RM8.3 juta di dalam empat bagasi ke Manchester, United Kingdom terbongkar selepas mereka membatalkan penerbangan pada saat akhir.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu dibuat selepas menyedari perjalanan mereka hanya ke Singapura, seperti mana dijanjikan sindiket dadah.

“Pihak penerbangan telah memanggil pihak AKPS dan pegawai kami hadir dan mula membuat siasatan awal dan kemudian mengiringi kedua-dua pasangan ini untuk pergi mengambil bagasi mereka semula.

“Apabila bagasi melalui laluan keluar, di situlah terkesan barang terlarang tersebut dan menyebabkan pegawai AKPS bertindak untuk menyekat perjalanan dua orang lagi dan membawa beg mereka untuk disaring sekali lagi.

“Saringan kali kedua itu jelas menunjukkan setiap beg mengandungi ganja,” katanya kepada pemberita di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media khas mengenai rampasan dadah jenis ganja di Ruang Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 06 NOVEMBER 2025

Jelas Shuhaily, keempat-empat individu yang berusia antara 20 hingga 24 tahun itu dipercayai bertindak sebagai keldai dadah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Mereka bergerak dari Johor ke Pulau Pinang dengan menaiki bas dan menetap di beberapa hotel di sekitar Georgetown sebelum berlepas. Tujuan destinasi mereka ialah Manchester.

“Dijanjikan destinasi Manchester melalui Singapura. Pasangan itu, orang disyaki pertama dan kedua telah berjaya berlepas dan tiket mereka sememangnya seperti mana dijanjikan berakhir di Manchester.

“Namun ada dua lagi pasangan, tiket mereka hanya sampai ke Singapura. Justeru, mereka tidak mahu meneruskan perjalanan dan memohon beg yang telah dimasukkan itu dikeluarkan semula,” katanya.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media khas mengenai rampasan dadah jenis ganja di Ruang Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 06 NOVEMBER 2025

Kesemua empat individu itu yang masing-masing bekerja di syarikat minyak dan gas, pemandu e-hailing, manakala dua lagi bekerja sendiri ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya, ujarnya.

“Mereka semua masih muda lagi. Kejayaan pegawai AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menyekat satu sindiket penyeludupan dadah yang bagi saya terlalu berani,” katanya.

Selain itu, katanya, hasil temuduga awal yang dibuat pegawai AKPS mendapati, kesemua mereka terpedaya apabila mengikuti satu laman dalam platform TikTok.

“Hasil siasatan pegawai AKPS menunjukkan laman itu pun telah diturunkan. Saya ingin menegaskan kepada semua pengguna laman media sosial ini, tiada apa yang datang dengan mudah.

“Barang kes telah pun diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media khas mengenai rampasan dadah jenis ganja di Ruang Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 06 NOVEMBER 2025

Shuhaily turut mengingatkan orang ramai agar tidak membawa bagasi bukan milik sendiri ketika berada di lapangan terbang.

“Kita sudah nasihat benda ini bukan baharu. Jangan membawa beg bukan hak awak ataupun milik awak ke mana-mana ketika berada di lapangan terbang.

“Mereka diarahkan untuk mengambil beg di lapangan terbang tersebut dan untuk membawa bersama-sama mereka ke destinasi tersebut. Jadi dekat situ sebenarnya sudah bendera merah.

“Awak bawa beg yang awak tak tahu siapa punya. Awak check in dan sekarang awak terpaksa menanggung kesalahan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast