Anak kepada bekas Pengasas Al Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari juga merupakan antara 13 orang kakitangan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 15 bulan atas kesalahan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 NOVEMBER 2025

KAJANG – Anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari yang selesai menjalani hukuman penjara 15 bulan, tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran penglibatannya menganggotai kumpulan GISBH Sdn. Bhd. sehingga membawa kepada pendakwaan terhadapnya.

Lelaki itu merupakan antara 13 kepimpinan tertinggi kumpulan tersebut yang bebas hari ini, menyifatkan peristiwa tersebut  merupakan salah satu ujian Allah S.W.T untuk mendidik hamba-hambaNYA.

Meskipun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan, tempoh pemenjaraan telah selesai selepas mengambil kira jumlah hari kelepasan am dan cuti hujung minggu membolehkan mereka memperoleh `diskaun’ yang merupakan amalan biasa dipraktikkan terhadap banduan.

“Kami tak salahkan sesiapa, sememangnya kamilah yang kena bertawakal. Allah S.W.T nak didik untuk terus kuat dan selama ini kami banyak belajar malah akan terus belajar,” katanya ketika ditemui wakil media di luar Kompleks Penjara Kajang di sini hari ini.

Mohammad Adib bebas selepas menjalani hukuman penjara 15 bulan berikutan pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan menjadi ahli kumpulan perniagaan, GISBH yang menyalahi undang-undang.

Anak bekas pengasas Al-Arqam itu tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakan-rakan yang mendoakan mereka sepanjang tempoh penahanan selama 13 bulan.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan kompleks berkenaan apabila kesemua 13 kepimpinan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd. Ali dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara manakala sembilan wanita membayar denda RM4,500 seorang.

Kesemua lelaki berkenaan yang telah ditahan selama 13 bulan 20 hari, selesai menguruskan dokumentasi pembebasan dengan pengurusan penjara dan selanjutnya dibawa keluar dari pekarangan bangunan dengan kenderaan penjara pukul 5.40 petang.

Sementara itu, bekas akauntan GISBH, Hamimah Yakub bertekad kembali ke pangkal jalan dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan pertubuhan tersebut.

Hamimah Yakub

Hamimah, 72, yang ditemui wakil media sejurus selesai membayar denda RM4,500 berkata, perasaan insaf timbul menyebabkan dia membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, saya langsung tiada kaitan dengan GISBH manakala tempoh tahanan reman memberi peluang untuk muhasabah diri,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), barisan peguam dan pihak-pihak yang membantunya.

Hamimah Yakub para peguamnya selepas membayar denda RM4,500 di Kompleks Penjara Kajang atas kesalahan menjadi ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang. 7 NOVEMBER 2025

Sementara itu, peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Hamimah berkata, anak guamnya merupakan tertuduh pertama yang dibenarkan untuk diikat jamin pada 13 Januari lalu.

Beliau berkata, sejak itu Hamimah telah mengikuti program pemulihan yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Selepas ini, kami harap tidak timbul isu-isu lain melibatkan pertubuhan yang menyeleweng membabitkan anak guam. Dia insaf, mengaku tersilap dan berusaha menjadi umat Islam yang sebenar,” katanya yang hadir bersama peguam Kamal Hisham Jaafar.

Sementara itu Kamal Hisham berkata, ucapan terima kasih juga disampaikan kepada AGC yang bertungkus lumus menyelesaikan kes sambil berharap pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Hamimah turut selesai secepat mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast