SHAH ALAM – Seorang wanita menangis teresak-esak di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Mohd Nasir Nordin ketika merayu agar hukuman denda terhadapnya dikurangkan selepas mengaku bersalah gagal melaporkan pemberian suapan.
Tertuduh, Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin, 27, yang juga bekas pegawai bank yang menguruskan pembiayaan hartanah mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM3,201 daripada sebuah firma guaman, lima tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh secara rasuah diberikan suapan wang tunai itu yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya daripada akaun bank milik Firma Guaman Erifarizan & Hilyatu di sebuah bank cawangan di Seksyen 13, di sini, 23 November lalu.
Ia sebagai upah untuk mencadangkan firma guaman itu bagi menyediakan dua dokumen perjanjian pembiayaan bagi pembelian rumah berjumlah lebih RM924,000.
Tindakan suspek itu melanggar peruntukan seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) kerana tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau pegawai polis yang hampir dengan seberapa segera sebagaimana dikehendaki di bawah subseksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 25(2) Akta yang sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman denda terhadap dirinya dikurangkan atas alasan dia sudah berkahwin, mempunyai seorang anak berusia 1 tahun lebih serta mempunyai komitmen bulanan tinggi termasuk rumah (RM1,800), kereta (RM370) dan PTPTN (RM200).
Selain itu, dia juga meminta hukuman yang ringan memandangkan dia menyara dan membiayai rawatan dan keperluan ibu bapanya yang berada di Melaka.
Hakim Mohd Nasir kemudiannya pengurangan hukuman denda RM6,000 dan jika gagal bayar penjara enam bulan serta menasihatkan tertuduh agar bertaubat dan tidak mengulangi jenayah sama pada masa akan datang.
Sementara itu, seorang pegawai bank pula ditawarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan utama dan pilihan.
Mengikut pertuduhan utama, Koh Wei Yeong, 36, secara rasuah diberikan suapan wang tunai berjumlah RM1,800 yang dimasukkan melalui akaun milik isterinya daripada akaun bank milik Firma Guaman Arizal Jailani & Co di sebuah bank cawangan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada 13 Mei 2020.
Ia sebagai upah kepada dirinya selaku pegawai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di sebuah bank untuk mencadangkan firma guaman itu bagi menyediakan dokumen perjanjian pembiayaan hartanah berjumlah RM300,000.
Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Akta ini memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Manakala pertuduhan pilihan pula, tertuduh diberikan suapan wang tunai berjumlah RM1,800 yang dimasukkan melalui akaun bank milik isterinya daripada akaun bank milik firma guaman sama sebagai upah perkara dan jumlah yang sama.
Tertuduh didapati melanggar peruntukan seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009 kerana tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau pegawai polis paling hampir dengan seberapa segera sebagaimana dikehendaki di bawah subseksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Wei Yeong didapati melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 25(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh pengurusan dan sebutan kes. – MalaysiaGazette
















