KUALA LUMPUR – Peruntukan RM15 juta yang diumumkan kerajaan sebelum ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikhaskan untuk tujuan tertentu iaitu persiapan kempen kelayakan Piala Asia 2027 bagi skuad bola sepak kebangsaan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dana tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan lain termasuk proses rayuan dan membayar denda FAM yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hannah menambah, dana berkenaan diberikan terus kepada FAM dengan pemantauan rapi oleh Majlis Sukan Negara (MSN), KBS serta Kementerian Kewangan bagi memastikan ia dibelanjakan secara telus.
“Setiap perbelanjaan perlu dilaporkan kepada MSN dan turut dipantau oleh kementerian, jadi tidak timbul isu dana itu digunakan bagi tujuan lain,” katanya.
Sebelum ini, FAM menjadi tumpuan selepas dikenakan denda CHF350,000 (RM1.5 juta) oleh FIFA kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
Hannah memberitahu, kos membawa kes ke mahkamah itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bukannya daripada peruntukan kerajaan. – MalaysiaGazette
















