Tahap kawalan keselamatan longgar yang disediakan oleh pasukan tuan rumah menyaksikan kekecohan penonton yang bergaduh di tempat duduk kawasan penyokong pelawat dalam aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan budaya samseng atau pergaduhan tidak akan sesekali mendapat tempat di dalam mana-mana penganjuran sukan di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, apatah lagi ia melibatkan sukan bola sepak yang popular di kalangan masyarakat di mana kehadiran pengunjung di stadium turut dihadiri kanak-kanak.

Justeru beliau, meminta penganjur sukan dan pemilik fasiliti untuk memastikan persekitaran yang sihat dan selamat di venue untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.

“Kita ada kod Sukan Selamat di mana kod ini bukan sahaja digunakan untuk atlet tetapi juga untuk penganjur sukan dan pemilik operator kemudahan stadium.

“Kita tahu bahawa sepak bola adalah sukan rekreasi untuk satu keluarga dan sesuai untuk kanak-kanak hadir.

“Jadi saya meminta kerjasama daripada semua pihak penganjur dan peminat bola sepak untuk memastikan bahawa persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.

“Budaya samseng atau budaya bergaduh bukan budaya Malaysia. Saya minta bukan sahaja sepak bola, malah semua acara dihentikan kerana genarasi muda sedang melihat bagaimana diri kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Malam tadi, berlaku kekecohan antara penyokong Selangor FC dan Persib Bandung dari Indonesia dalam aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menegaskan pihaknya tidak berkompromi atas isu keselamatan apabila kemungkinan Selangor FC (SFC) bakal berdepan hukuman berat atas isu kekecohan

Dalam aksi Kumpulan G, tahap kawalan keselamatan longgar yang disediakan oleh pasukan tuan rumah menyaksikan kekecohan penonton yang bergaduh di tempat duduk kawasan penyokong pelawat.

Tidak terhenti disitu, terdapat segelintir penyokong memasuki kawasan padang sebaik perlawanan berakhir namun sempat dihalang pegawai keselamatan sebelum sempat individu terbabit menghampiri pemain SFC.

Malah, penyokong tuan rumah juga dilaporkan memasuki ruang bilik VIP dengan merosakkan beberapa kemudahan awam di kawasan terbabit.

Dalam aksi itu, Persib Bandung menang 3-2 selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol di babak pertama untuk mengecewakan penyokong Red Giants.

Susulan kekalahan kali keempat berturut-turut itu, SFC tersingkir daripada saingan tanpa sebarang pungutan mata biarpun masih berbaki dua perlawanan dalam tangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast