Trak Polis yang membawa kakitangan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd tiba bagi pertuduhan baharu di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 NOVEMBER 2025

KAJANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 12 kepimpinan tertinggi kumpulan itu dipenjara 15 bulan manakala sembilan ahli wanita didenda RM4,500 setiap seorang atas kesalahan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, kesemua 22 ahli GISBH bebas hari ini selepas tertuduh lelaki selesai menjalani hukuman penjara selama 13 bulan dan 10 hari bermula tarikh tangkap di antara 25 September dan 12 Oktober tahun lalu manakala sembilan tertuduh wanita membayar denda RM4,500.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menjatuhkan hukuman itu selepas kesemuanya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah semua individu tersebut, selain faktor pemberatan hukuman yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan dan rayuan meringankan hukuman oleh pembelaan.

Hakim Latifah turut berpuas hati bahawa kesemua tertuduh telah insaf dan kesal dengan perbuatan tersebut.

“Mahkamah mengambil kira tertuduh lelaki telah berada dalam tahanan reman selama 13 bulan manakala tertuduh wanita direman selama enam bulan sebelum dibebaskan dengan jaminan,” ujarnya.

Hakim berkenaan turut membenarkan permohonan pihak pembelaan agar 22 unit telefon bimbit milik kesemua tertuduh yang tidak lagi menjadi sebahagian eksibit kes, dipulangkan secara pentadbiran.

Nasiruddin, 66, isterinya Azura Md. Yusof, 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, serta 19 yang lain mengaku bersalah pada prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang di sini.

Mereka yang mengaku bersalah termasuk lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.

Sementara itu, 11 tertuduh lelaki ialah Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Kesemuanya didakwa atas pertuduhan pilihan melakukan kesalahan itu dj sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini antara Oktober 2020 dan 11 September 2024.

Kesemuanya yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada waktu yang di tempat yang sama, ditawarkan pertuduhan pilihan selepas representasi mereka diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada prosiding 30 Oktober lalu, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima representasi 22 kepimpinan tertinggi GISBH dan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan asal menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Berita selanjutnya menyusul.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast