KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengingatkan sebarang tindakan menghalang, mengugut atau menengking anggotanya semasa bertugas boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
RELA dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota jabatan itu juga adalah penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.
Tambahnya, RELA memandang serius kejadian yang tular di media sosial pada 4 November lalu melibatkan seorang anggotanya yang sedang menjalankan tugas di Terminal Bas Johor Bahru Sentral, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
“Kejadian tersebut berlaku ketika anggota berkenaan sedang bertugas membantu kelancaran orang awam dan keselamatan di kawasan terminal.
“Anggota RELA tersebut telah ditegur secara kasar oleh seorang orang awam yang tidak berpuas hati selepas diminta mematuhi laluan yang telah ditetapkan ketika ingin menggunakan perkhidmatan bas,” katanya.
Tambah kenyataan itu, RELA menghargai profesionalisme dan kesabaran anggota yang terbabit dalam insiden tersebut yang menangani situasi tegang dengan berhemah tanpa sebarang provokasi.
Sehubungan itu, bagi mengekal dan mempertingkatkan kualiti anggota RELA bertugas, latihan dan bimbingan yang berterusan akan sentiasa diberikan sewajarnya.
“Semoga usaha ini akan meningkatkan keyakinan orang awam dalam mendapatkan perkhidmatan anggota RELA dalam sebarang penugasan yang ditetapkan,” katanya.
Semalam, tular di media sosial video kejadian kekecohan yang tercetus antara seorang lelaki dan anggota RELA yang sedang menjalankan tugas di Terminal Bas BSI, Johor Bahru.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 11.13 pagi Selasa lalu, setelah polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu keselamatan.
Tambah Raub, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek berusia 31 tahun kelmarin, dan semakan mendapati suspek memiliki satu rekod lampau walaupun ujian saringan urin didapati negatif dadah. – MalaysiaGazette
















