PERMATANG PAUH – Masjid Madani bernilai RM80 juta yang bakal dibina di Taman Arowana di sini akan menjadi mercu tanda baharu komuniti Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos pembinaan masjid yang dijangka siap suku keempat 2027 itu diperoleh daripada sumbangan syarikat-syarikat Islam tempatan dan penderma antarabangsa.

“Daripada RM80 juta itu, RM57 juta kita terima daripada sumbangan dalam dan luar negara. Baki kos pembinaan kita tunggu kalau ada sumbangan, kalau tak ada mungkin saya ambil sedikit daripada wang kerajaan, itu pun jika perlu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Madani di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan pengerusi Masjid Madani Arowana, Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang juga pengasas RHB Group.

Tambah Anwar, pembinaan masjid perlu dilaksanakan segera tanpa kelemahan.

“Saya mahu semua kelulusan (perlu) segera. Tindakan segera. Pembangunan segera.

“Saya tidak akan tolak ansur apa-apa kelemahan dan kelewatan membina Masjid Agung, Masjid Madani di Permatang Pauh ini. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita,” katanya.

Untuk rekod, Masji Madani yang dibina di atas tapak tanah seluas 2.23 hektar bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan itu mampu menampung 5,249 jemaah.

Ia akan dilengkapi dengan dewan serbaguna berhawa dingin, perpustakaan, bilik kuliah, bilik musafir, bilik jenazah, pejabat pentadbiran, enam unit kuarters kakitangan serta kawasan parkir luas.

Reka bentuk kompleks seluas lebih 110,000 kaki persegi itu adalah hasil kerjasama arkitek tempatan dan antarabangsa, menjadikannya bukan sahaja rumah ibadah tetapi pusat komuniti Islam moden selaras konsep Malaysia Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast