Penyanyi rap, Caprice Foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2023. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Caprice bersetuju menarik balik sembilan kenyataan yang didakwa memfitnah jurulatih gimnasium, Syed Mohammad Murad Syed Naseem yang diterbitkan dalam akaun Instagramnya (IG).

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli turut patuh dan berjanji tidak menerbitkan kembali, mengedar semula atau menyebarkan mana-mana kenyataan berkenaan dalam sebarang bentuk.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini merekodkan perintah persetujuan bahawa Caprice segera menurunkan kenyataan terhadap jurulatih gimnasium itu atau dikenali sebagai Murad Zaidi.

Perintah itu yang direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh, kelmarin, melibatkan sembilan kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap Murad Zaidi, 38, dimuat naik dalam Instagram defendan (Caprice) antara Julai dan Ogos 2025.

Menurut draf perintah persetujuan, pempengaruh berusia 39 tahun itu juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau representasi serupa terhadap jurulatih tersebut.

Susulan itu, Murad Zaidi menarik balik permohonan injunksi interimnya terhadap defendan, tanpa perintah mengenai kos.

Perkara itu disahkan oleh peguam Murad Zaidi, Datuk M. Reza Hassan dan peguam defendan, Megat Syazlee Mokhtar.

“Saman fitnah utama terhadap pempengaruh itu akan diteruskan dan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 17 November ini,” kata M. Reza.

Murad Zaidi sebagai plaintif, memfailkan saman fitnah pada 4 Ogos lalu dengan mendakwa defendan telah memuat naik hantaran palsu serta berniat jahat yang menggambarkan beliau terbabit aktiviti jenayah dan jenayah terancang.

Akibat hantaran yang dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya telah tercemar dan menyatakan defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.

Sehubungan itu, Murad Zaidi memohon injunksi untuk menghalang defendan, pekerja, wakil atau ejennya daripada menerbitkan, mengedar atau mengulangi sebarang hantaran berunsur fitnah terhadapnya dalam media sosial.

Beliau juga meminta permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk video yang akan dimuat naik di semua platform media sosial defendan, selain ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaannya, menegaskan kenyataan berkenaan dibuat tanpa niat jahat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast