Anggota imigresen melakukan serbuan di kawasan rumah kedai di Taman Mount Austin, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Sebahagian 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang berehat sedang berehat di rumah kedai bertempiaran melarikan diri selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Taman Mount Austin di sini malam tadi.

Ops Sapu yang dilakukan 30 anggota Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor pada pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan secara mengejut selepas mendapat aduan awam dan risikan.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka didapati menetap di kawasan rumah kedai dipercayai bekerja secara haram di kedai makan dan kilang di situ.

“Serbuan mengejut itu dijalankan ketika kesemua warga asing tersebut sedang berehat di rumah kedai yang dijadikan sebagai tempat tinggal.

“Ada antara mereka cuba melarikan diri serta menyorok atas siling dan bersembunyi dalam bilik mandi namun berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam operasi ini, seramai 45 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Jelasnya, mereka terdiri daripada tiga lelaki dewasa warga Indonesia, sembilan lelaki dewasa Pakistan, tujuh lelaki dewasa warga India, 19 lelaki dewasa Myanmar, seorang kanak-kanak lelaki Myanmar, lima wanita dewasa Myanmar dan seorang wanita Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati PATI tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 09 bulan hingga 46 tahun,” ujarnya.

Semua individu yang ditahan katanya, disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“JIM Johor akan terus bergiat aktif membanteras PATI di negeri ini dan turut memandang serius terhadap isu warga asing yang menyalahgunakan pas/permit yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terdapat PATI yang melanggar undang-undang.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast