KUANTAN – Polis telah memanggil pemandu yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton S70 terbabas di kilometer 13.4 Jalan Genting Highlands, Bentong, 5 Oktober lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, ia susulan tular di media sosial klip video rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) kemalangan itu sejak semalam.
“Pemandu yang juga pemilik kereta itu dijangka akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong esok pagi.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan tersebut berlaku pada Ahad lepas kria-kira pukul 12.30 pagi di mana kereta yang dipandu itu telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan dan berpusing ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, beliau berkata, pemandu yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun tidak mengalami kecederaan, namun kereta itu mengalami kerosakan yang teruk.
Zaiham berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Rule 10 LN166/59 (Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959) kerana lalai atau cuai dalam mengawal kenderaan.
“Mohon juga kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Polis Bentong juga akanmengambil tindakan tegas serta akan mengadakan operasi secara berterusan untuk memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna-pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan secara merbahaya dengan tidak mengikut peraturan dan undang-undang,” tambanya lagi. – MalaysiaGazette
















