KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih ditahan selepas melanggar kenderaan polis dan bertindak melarikan diri di Senawang, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 pagi ketika pasukan polis sedang menjalankan rondaan di kawasan BPS 4, Senawang.
“Anggota polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna coklat yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
“Ketika polis menghampiri untuk membuat pemeriksaan, pemandu kenderaan terbabit enggan memberi kerjasama dan bertindak mengundur kenderaan sebelum melanggar kenderaan MPV polis lalu memecut melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, insiden kejar-mengejar antara polis dan suspek berlangsung hampir 45 minit, bermula dari Jalan Senawang hingga ke susur keluar Seremban berhampiran jejambat Lebuhraya LEKAS.
Kenderaan suspek kemudian terbabas dan melanggar tembok di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati pemandu seorang lelaki Melayu berusia 23 tahun manakala penumpang ialah wanita Melayu berusia 22 tahun.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan ujian saringan air kencing juga negatif.
“Kedua-dua mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















