Zhenlong didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas kesalahan memperdaya JAS Johor.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap seorang pengarah syarikat warga China atas kesalahan memperdaya Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor babitkan pembelian empat kontena yang bukan dilakukan syarikat miliknya, pada 2022.

Tertuduh, Chen Zhenlong, 48, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Zhenlong yang juga pengarah syarikat pelaburan didakwa bersubahat memperdayakan JAS Johor bahawa syarikatnya iaitu Ascent Asia Industries Sdn Bhd, yang merupakan syarikat kitar semula plastik bukan pembeli empat kontena tersebut sebaliknya adalah sebuah syarikat lain pada 19 Januari 2022.

Berdasarkan tindakan tersebut, tertuduh dengan curangnya mendorong Pengarah JAS untuk tidak meneruskan tindakan terhadap syarikat Ascent Asia Industries Sdn Bhd di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574), boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli sementara tertuduh diwakili peguam Jeremy Chan Chun Hong.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 jika gagal boleh dipenjarakan tiga bulan.

Pada September lalu, Zhenlong membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim yang sama.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast