KUALA LUMPUR – Seorang bekas pesuruhjaya kehakiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun pada Januari lalu.
Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, 63, yang juga penasihat undang-undang di sebuah badan korporat meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad semalam.
Mahkamah membenarkan Mohamad Shariff diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Januari tahun depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Shariff didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 3.45 petang dan 4 petang pada 6 Januari lalu dari kawasan parkir sebuah pusat komersial di Seksyen 16 menuju ke Kompleks Jaya One di Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, Petaling Jaya.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu antara pukul 4.45 petang dan 4.55 petang hari yang sama di ruang lobi sebuah premis perniagaan Jaya One di sini.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Azharul Asiq.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan. – MalaysiaGazette
















