KUALA LUMPUR – Dua buah bot pukat kenka yang disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau, Perak awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Kapten Maritim Mohd Hairil Othman berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan sekitar 2.10 pagi pada kedudukan sekitar 7.2 batu nautika barat Muara Kuala Kurau.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel disyaki menangkap ikan pada waktu yang tidak dibenarkan dan tidak diusahakan sendiri oleh pemilik sebenar serta menggunakan peralatan dilarang iaitu pemberat melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, lima awak-awak dan dua tekong semuanya warganegara Malaysia berada di atas bot ketika tangkapan dilakukan.
Kesemua mereka bersama bot terbabit telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan. – MalaysiaGazette
















