KUALA LUMPUR – Sebanyak RM500,000 diperlukan bagi kos membawa pulang jemaah Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Saudi German, Makkah selepas menghidap pneumonia sejak 13 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sehingga kini sebanyak RM10,000 bantuan dana berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YMM).
“Alhamdulilah setakat hari ini hampir RM10,000 sumbangan berjaya dikutip, sebenarnya kita memerlukan jumlah yang besar iaitu kira-kira RM500,000 bagi pengurusan membawa pulang Asmah ke tanah air seperti dimaklumkan oleh pakar di Arab Saudi.
“Saya juga sebak semasa bersama dengan dia, suaranya tidak boleh keluar sebab baru lepas pembedahan dan dia memberitahu pada ‘saya boleh ke bawa makcik pulang ke Malaysia’. Bila dengar memang saya amat tersentuh.
“Disebabkan itu kita berharap sangat pada semua rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat pemurah dapat bersama membantu membawa Asmah pulang ke tanah air,” katanya pada pemberita.

Agama, Datuk Mohd Naim Mokhtar bergambar bersama peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Kelas Fardu Ain Orang Kurang Upaya (OKU)
Pekak, di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 NOVEMBER 2025
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majls Perasmian Kelas Bimbingan Fardhu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini.
Dalam pada itu, Mohd Na’im juga memberitahu, wanita warga emas itu sudah tiga bulan bersendirian tanpa ahli keluarga di hospital berteman individu yang tidak dikenali dan berlainan bahasa.
“Dia cuma dapat berjumpa sekali sekala petugas Tabung haji (TH) yang datang memantau keadaannya sahaja selebihnya banyak bertemu dengan orang lain yang berlainan bangsa dan sukar berbahasa melayu,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan untuk Asmah pulang ke tanah air boleh dibuat menerusi Tabung Musaadah JAKIM dan Yayasan Waqaf Malaysia (YMM) di akaun CIMB Islamic 86-0221818-6.
Terdahulu, Mohd Na’im dilaporkan berkata, Asmah telah menyempurnakan ibadah hajinya sebelum dimasukkan ke hospital dan kini masih memerlukan bantuan pernafasan berterusan sejak 13 September lalu.
Ujarnya lagi, pihak hospital telah memberi kebenaran untuk dia dibawa pulang ke tanahair namun proses berkenaan perlu dirancang dengan teliti melibatkan logistik perubatan yang rumit serta kos yang tinggi. – MalaysiaGazette
















