PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak hanyut dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi negara ketika ini.
Sebaliknya, perdana menteri menegaskan, semua pihak perlu terus berwaspada dalam mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara yang menjadi asas kepada kemajuan Malaysia.
“Jangan kita terlalu selesa dengan kejayaan ini. Kita syukur, tapi bersyukur itu harus ada kewaspadaan. Negara kecil seperti Malaysia, bila meningkat maju, ia jadi perhatian baik untuk pelaburan, pelancongan, tetapi ada juga iri hati dan permusuhan luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan November di Putrajaya, pagi ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut beliau, Malaysia kini mencatat rekod pencapaian memberangsangkan termasuk prestasi ringgit terbaik di Asia, kadar pengangguran rendah dalam tempoh satu dekad serta pelaburan tertinggi sejak negara mencapai kemerdekaan.
Jelasnya, pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil kerjasama semua pihak.
“Ini semua kerana berkat kerjasama semua. Pertama, dengan izin Allah SWT. Kedua, dengan pasukan kita, jemaah Menteri, perkhidmatan awam, seluruh sektor awam dan swasta,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kejayaan Malaysia ini telah meletakkan negara di radar global, termasuk dalam persaingan geopolitik dan ekonomi.
Persoalannya, apakah kita mampu bertahan dari cabaran domestik dan luar, termasuk persaingan dan geopolitik,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menegaskan kestabilan politik, perpaduan dan hala tuju negara mesti dipertahankan, sambil mengingatkan supaya budaya politik sempit tidak menjadi penghalang kemajuan.
“Yang penting bukan siapa berkuasa, tetapi bagaimana kuasa itu diuruskan. Kalau tidak diurus dengan baik, sebesar mana pun kekayaan negara, ia tak ke mana,” katanya.
Beliau turut menyentuh keyakinan pelabur global terhadap hala tuju Malaysia dalam teknologi masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Bila Nvidia jumpa saya, dia bukan datang sebab Anwar. Dia datang sebab negara ini jelas dasarnya, jelas haluannya. Ini kekuatan kita.
“Negara yang meningkat maju tentu menjadi perhatian,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan para pemimpin semua peringkat bahawa kuasa dan jawatan adalah amanah sementara yang wajib digalas dengan penuh tanggungjawab.
“Jabatan itu hanya pinjam sebagai amanah sementara… Ketua unit, KSN, perdana menteri, semua itu sementara. Ada perdana menteri tak cukup setahun, dua tahun, tiga tahun, ada perdana menteri 22 tahun. Itu peringatan, tiada yang kekal,” jelasnya. -MalaysiaGazette
















