KUALA LUMPUR – Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim kembali mencuri perhatian netizen selepas dia memuat naik gambar hitam putih di laman Instagram miliknya, semalam.
Hantaran tanpa sebarang kata itu mencetus persoalan di mana ruangan komen penyerang itu dibanjiri ribuan mesej sokongan dan doa daripada netizen.
Kata-kata semangat diberikan kepada Faisal, 27, atau lebih mesra disapa Mickey kerana dia sebelum ini berdepan pelbagai dugaan di luar padang termasuk isu rumah tangga yang kembali menjadi perhatian ramai.
Isnin lalu, isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahri memuat naik gambar di laman sosial dengan kapsyen berbunyi “perkahwinan bukan satu perjudian, patut layan aku macam sampah” yang kembali mencetuskan tanda tanya mengenai kemelut rumah tangga mereka.
Sebelum ini, Syazwani pernah memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, namun kedua-duanya memilih untuk berbaik semula demi keluarga.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan.
Walaupun dihujani pelbagai ujian termasuk disimbah asid tahun lalu, Faisal kekal mendapat sokongan padu daripada peminat yang berharap agar dia kembali dan fokus terhadap karier bola sepaknya bersama Selangor FC dan skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette















