MELAKA – Seorang guru silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap dua remaja yang juga anak muridnya pada September dan Oktober lalu.
Tertuduh, Yusof Omar, 44, membuat pengakuan itu sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Rohatul Akmar Abdullah
Mengikut dua pertuduhan amang seksual fizikal, tertuduh didakwa telah memeluk, mencium mulut serta memegang dan menghisap payudara dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 dan 15 tahun bagi tujuan seksual dalam dua kejadian berasingan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Taman Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah di sini pada jam 8 pagi 8 Oktober 2025 dan jam 2 petang 13 September 2025.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan mangsa, berusia 15 tahun dengan cara memaksa mangsa menghisap kemaluan tertuduh di lokasi dan masa sama pada 13 September lalu.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa, melapor diri sekali setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai guru silat dengan pendapatan tidak menentu, selain menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung.
Tertuduh juga hujahnya perlu menyara ibu yang uzur selain mengalami masalah saraf bernanah di kaki kiri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM24,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 15 dan 23 Disember ini. – MalaysiaGazette
















