KUALA LUMPUR – Datuk Maimunah Mohd Sharif yang menamatkan tugasnya hari ini bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kota dan organisasi itu kerana memberikan kerjasama padu sepanjang 500 hari beliau berkhidmat.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana dapat meninggalkan asas kukuh untuk masa depan bandar ini, dari segi perancangan, integriti, digitalisasi, tindakan iklim, perumahan, penyertaan komuniti dan hubungan antarabangsa.
“Sejak hari pertama saya dilantik pada 14 Ogos 2024, saya membawa satu komitmen yang jelas: saya ingin mengembalikan roh kemanusiaan dalam pentadbiran bandar dalam setiap dasar, setiap projek, dan setiap keputusan mesti memberi makna kepada hidup rakyat.
“Hari ini, saya berdiri di sini dengan rasa syukur kerana banyak perubahan besar telah kita lalui, dan banyak kejayaan penting telah dicapai sepanjang tempoh kepimpinan saya,” katanya pada sidang media terakhir sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Maimunah berkata, antara pencapaian yang paling signifikan dalam tempoh perkhidmatan saya ialah pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) pada 28 Mei 2025.
Pelan ini, katanya, menjadi reformasi struktur terpenting dalam perancanagan bandar Kuala Lumpur dalam satu dekad, dan saya berbangga kerana ia berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan saya,” katanya dalam sidang media hari ini.
“PTKL2040 bukan sekadar pelan, tetapi asas kepada bandar yang lebih tersusun, bersifat inklusif, dan berdaya tahan,” ujarnya.

Tambah beliau, agenda digital di bawah pimpinannya berjaya melaksanakan 16 kes penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Kuala Lumpur Command and Control Centre.
Ini termasuk sistem amaran banjir, pengesanan lubang jalan, pemantauan pembuangan haram dan pengurusan trafik pintar.
Maimunah berkata, setakat September, 91.40 peratus aduan warga kota berjaya diselesaikan, satu peningkatan ketara yang saya pantau secara mingguan bagi memastikan setiap isu diberi perhatian sepenuhnya.
Selain itu, DBKL turut mencapai lebihan operasi buat pertama kali dalam lebih sedekad, serta impak Operation Zero Waste yang mengurangkan lebih 9,000 tan sisa.
Di bawah pentadbirannya juga, Kuala Lumpur turut menonjol di peringkat antarabangsa melalui pengiktirafan sebagai UNESCO Creative City of Design, selain penganjuran beberapa forum serantau yang mengukuhkan reputasi Kuala Lumpur sebagai bandar progresif.

Dari sudut tadbir urus dan kewangan, beliau juga mengambil keputusan berani merombak cara DBKL mengurus perolehan dan perbelanjaan.
“Hasilnya, buat pertama kali dalam lebih sedekad, DBKL mencapai lebihan operasi. Ini bukan pencapaian kecil, ia membuktikan reformasi yang saya perkenalkan
melalui pendekatan perbelanjaan berhemah, value-for-money, Centralized Contract Management System dan Procurement Integrity Framework memberi kesan nyata kepada kecekapan pentadbiran,” tambahnya.
Maimunah berkata, walaupun beliau akan memegang peranan baharu namun sebahagian daripada hatinya tetap bersama Kuala Lumpur.
Semalam, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan pelantikan Maimunah sebagai Penasihat Hartanah firma minyak dan gas negara berkuat kuasa 17 November 2025 ini.
Pelantikan ini bagi memacu fasa pertumbuhan baharu aset hartanah Petronas, termasuk projek di tanah Sungai Besi dan pembangunan Kota Madani. – MalaysiaGazette
















