Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata di khalayak ramai, boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu sedang diteliti melalui semakan terhadap garis panduan pemakaian artis beragama Islam.

“Dari sudut tindakan, kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Na’im berkata, beliau sudah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan aspek pemakaian selebriti beragama Islam.

Katanya, semakan itu adalah antara langkah diambil susulan timbul isu pakaian segelintir selebriti wanita Melayu beragama Islam yang tampil dengan fesyen mencolok mata dalam persembahan atau karya seni mereka.

Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.

Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma’ Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.

Mohd Na’im berkata, garis panduan sudah dikeluarkan Jakim, namun tidak salah ia disemak.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im menegaskan, golongan selebriti sepatutnya lebih cakna terutama dari segi penampilan mengambil kira mereka sering dijadikan idola oleh masyarakat khususnya golongan muda.

“Bila kita jadi idola dan ikutan, sebagai orang Islam tentunya kena pastikan setiap perbuatan (kita) akan mendapat pahala dan boleh bawa golongan muda ke arah kebaikan.

“Harapan saya agar golongan selebriti ini dapat tunjukkan contoh terbaik, patuhi peraturan kehidupan sebagai orang yang beragama Islam dan ikutlah adab kita di sebelah timur ini,” katanya seperti dilaporkan media.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (KPMAIWP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Zuri Zabuddin Budiman dan Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Profesor Madya Dr Mohammad Firdaus Low Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast